Isnin, 4 Januari 2016

Entri 15: 2016, permulaan yang mencabar

Teks :Fauziah Mahmod


Kami menyambut tahun baru di Makati. Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di luar negara. Seperti entri saya yang lepas, beberapa minggu sebelum tahun baru telah kelihatan lampu-lampu berwarna- warni menghiasi jalanrayanya.

Cabaran baru bermula bagi kami apabila terpaksa berpindah dari pangsapuri yang kami duduki. Kontrak berakhir pada 31 Disember, 2015 dan kami akan ditempatkan di rumah transit sementara mencari penempatan yang baru di sekitar Salcedo Village. Kadar sewa yang dinaikkan dan nilai tukaran semasa matawang Malaysia yang jatuh untuk menyerap kenaikan kadar sewa tersebut, menyebabkan kami perlu mencari alternatif lain. Banyak urusannya bila berpindah. Talian telefon, pertukaran alamat surat menyurat, talian internet perlu diselesaikan segera. Sekarang semuanya masih di dalam proses. Ini adalah senario biasa bagi staf-staf yang ditempatkan diluar negara.Tetapi, ada juga kedutaan kita yang menyediakan kuarters untuk staf-staf kedutaan.

Proses penyerahan rumah sewa di Filipina, dari pengalaman saya adalah sangat tersusun dan sistematik. Pada hari tersebut, penyewa hendaklah memastikan rumah dalam keadaan tersusun dan bersih, sama seperti hari mula-mula kita masuk ke rumah tersebut.  Peralatan elektrik, perabot-perabot yang ada akan di audit berdasarkan senarai inventori rumah tersebut. Jika ada peralatan yang rosak atau hilang, penilaian akan dibuat dan seterusnya penyewa hendaklah membayar gantirugi.

Barang-barang telah dikemaskan, pakaian, kasut-kasut, permainan anak-anak. Stress juga! Ha ha! 
Ketiadaan talian internet juga menyebabkan penambahbaikan kedai online kami “RaniaImaniCraft”, dan pengiklanan internet “Homestay Rumah Inap Iman” tergendala sebentar. Abang yang akan mula bersekolah pada 4 Januari ini juga menyebabkan kami suami-isteri agak sibuk menguruskan persekolahan abang, dan urusan pindah rumah. Saya cuma berpeluang melayari internet jika singgah dipremis-premis yang menawarkan “WIFI” percuma.

Semoga saya tabah.

Wassalam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan