Khamis, 17 Disember 2015

Entri 4: Semoga rasa syukur itu sentiasa kekal dihati, Pasar Guadelope.


Teks: Fauziah Mahmod
Foto : Carian Google & Simpanan Peribadi




Pasar Guadelope atau Guadelope Wet Market adalah salah satu alternatif yang ada jika tidak mahu ke Saturday Market di Salcedo Village. Disini lebih banyak pilihan ikan, sayur-sayuran dan barangan mentah yang ada jika dibandingkan dengan "Saturday Market". Harganya pula lebih murah dan pasar ini dikunjungi oleh masyarakat tempatan yang saya kira kebanyakannya dari golongan menengah dan biasa. Kami bergerak awal ke pasar ini, sekitar jam 7:00 pagi untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.


Kebanyakan ikan-ikan yang ada disini tidak kita jumpai di Semenanjung Malaysia. Namun , ada juga ikan yang biasa saya beli seperti ikan merah (maya-maya),ikan selar kuning (hasa-hasa), talapia dan siakap. Ikan salmonnya segar dan besar-besar saiznya. Ketam dan kerang-kerangannya juga terdapat disini.Seperti pemandangan pasar biasa, terdapat juga sayuran , barangan runcit dan sebagainya.

Perjalanan ke Guadelope membawa satu sudut baru bandar Makati. Cuma 15 minit dari Salcedo Village jika kita menaiki teksi. Disini saya melihat kedai-kedai kecil, orang perseorangan berjualan di tepi jalan,jeepney dan sebagainya. Terdapat juga stesen Mrt disini.Jeepney adalah kenderaan pengangkutan awam yang terkenal di Filipina, selain dari pengangkutan awam seperti bas dan sebagainya. Jeepney tidak saya temui di Salcedo Village, mungkin tidak dibenarkan masuk. Di entri yang lain akan saya ceritakan dengan lebih banyak tentang jenis-jenis pengangkutan  awam yang terdapat disini.


Disetiap kedai runcit, saya melihat ada bungkusan-bungkusan kecil berisi minyak masak, saya anggarkan dalam 150ml, setiap satunya. Difahamkan ia adalah alternatif untuk golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli minyak dalam kuantiti yang banyak atau botol. Minyak masak agak mahal disini.Di tepi- tepi jalan, terdapat juga orang perseorangan berjualan sayur-sayuran dalam jumlah yang kecil. Termenung sebentar setelah sampai dirumah. Syukur saya panjatkan kepada Allah kerana sehingga kini belum pernah lagi saya membeli minyak masak yang sesedikit itu.

 Wassalam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan