Teks : Fauziah Mahmod
Foto : Carian Google
Segala Puji bagi Allah , Tuhan Sekelian Alam...
Salam Perkenalan semua. Nama saya Fauziah binti Mahmod, anak sulung dari 5 beradik. Berasal dari Melaka Bandaraya Bersejarah. Berusia 35 tahun, dan mempunyai sepasang cahaya mata yang masih lagi menikmati alam kanak - kanaknya. Di saat saya menghasilkan entri ini, saya sudah pun dua bulan meletakkan jawatan saya sebagai "IT Process Expert" di sebuah syarikat multinasional swasta di Cyberjaya. Kini bertatih menimba pengalaman sebagai ibu yang bekerja dari rumah di bumi Makati, Filipina.
Saya mula mendapat pendidikan peringkat rendah di Sekolah Rendah Dato' Naning, Alor Gajah Melaka. Menamatkan pengajian perigkat menengah di Maktab Rendah Sains Mara Jasin Melaka.Selesai alam persekolahan menengah, saya menjejakkan kaki saya ke Kolej Mara Banting, Selangor untuk program Matrikulasi selama setahun. Perjalanan diteruskan ke Universiti Malaya dalam bidang Sains Komputer selama 3 tahun sebelum mendapat segulung ijazah.
Seperti graduan lain, mencari pekerjaan adalah fasa yang agak getir dan mengujakan Alhamdulillah, perjalanan karier saya agak lancar bermula sebagai "IT Helpdesk" di sebuah syarikat multinasional di Melaka. Saya menerima beberapa kenaikan pangkat sepanjang 7 tahun , di mana jawatan terakhir saya sebagai Jurutera Kanan Sistem ( untuk produk Microsoft) .Selepas berkahwin dengan suami yang bertugas di Putrajaya, saya berpindah ke Cyberjaya pada penghujung Oktober,2010.
Di syarikat baru,saya bertugas sebagai IT Projek Konsultan, bertanggungjawab untuk memastikan projek - projek mengikut piawaian, proses dan polisi yang ditetapkan sebelum diserahkan kepada klien . Sekali lagi kenaikan pangkat sebagai "IT Process Expert" pada 2014 .Dikala sibuk menguruskan karier dan anak- anak yang saya kira ketika itu sama naiknya , pada bulan Jun 2015 saya dimaklumkan oleh suami yang beliau akan dipindahkan ke luar negara . Suami mahu saya dan anak- anak turut ikut bersama. Kami harus berlepas ke Filipina pada bulan Oktober.
Mengimbangi karier suami, dan keperluan anak anak yang masih kecil, saya tiada pilihan lain melainkan meletakkan jawatan. Perasaan bercampur - baur, tapi saya percaya perancangan Allah yang terbaik. Notis 3 bulan telah saya berikan kepada majikan, Selama 3 bulan itu juga kami membuat persiapan untuk ke Filipina termasuk perancangan apa yang saya akan lakukan bagi memenuhi masa saya disana memandangkan saya akan menjadi surirumah sepenuh masa. Langkah pertama, rumah yang saya inap di Kota Warisan, Selangor saya usahakan sebagai rumah inap sementara ( "Homestay Rumah Inap Iman") bersama rakan saya di Malaysia. Alhamdullillah, kami sudahpun mula mendapat pelanggan .
Peluang yang terbuka luas untuk berada dirumah sepenuh masa, saya berazam untuk mendidik anak- anak sendiri ,dan memasak untuk keluarga memandangkan sebelum ini peluang saya yang agak terbatas. 2 bulan saya di Makati, anak sulung saya yang berusia 4 tahun sudahpun mengenal huruf alif hingga ya. Sudahpun boleh menulis nombor , mengenal huruf ABC dan mahu bertutur dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris. Yang penting, saya melihat mereka gembira. Perubahan positif untuk saya juga, kemahiran memasak saya bertambah baik. "Patty burger", bebola ayam, bebola udang, kuih bingka, karipap dan sebagainya adalah dari air tangan saya sendiri.
Ke mana-mana saya pergi, saya sangat suka melihat wanita yang pandai menggayakan aksesori seperti keronsang, gelang tangan dan sebagainya. Nah! di Filipina saya boleh menjamu mata melihat aksesori yang dihasilkan dari mutiara, kayu , pelbagai jenis manik dan kerang kerangan . Disamping itu, pelbagai jenis kraftangan unik juga dihasilkan di sini.
Diharapkan dengan blog ini , rakan- rakan maya sekelian akan dapat melihat keunikan aksesori dan hasil kraf dari Filipina. Di samping itu saya juga akan selitkan pengalaman, tempat - tempat menarik terutama tempat membeli- belah di Filipina dan warna- warni masyarakat disini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami budaya dan kecantikan masyarakatnya.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan