Khamis, 17 Disember 2015

Entri 3: Greenhills yeay!


Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google & Simpanan Peribadi

Ini yang paling saya suka. Saya percaya ramai yang suka juga. He!he! Seperti ramai yang sedia maklum Filipina sangat terkenal dengan hasil mutiaranya. Kalau datang ke Filipina, jangan lupa singgah ke Greenhills Shopping Center.



Dari pangsapuri kami di Salcedo Village kami menaiki teksi ke Greenhills yang terletak di San Juan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang setengah jam, mujur tiada kesesakan jalan raya ketika itu. Sampai disana, saya melihat pelbagai barangan yang dijual seperti beg tangan, selendang, kasut dan sebagainya. Mutiara ? Beratus-ratus "booth" yang menjual mutiara disini. Saya jamin kalori akan banyak terbakar bila berjalan dari satu kedai ke kedai yang lain melihat mutiara. Rambang mata dibuatnya!

Pelbagai jenis, saiz dan warna mutiara yang dapat dilihat disini. Harganya juga pelbagai  dan berpatutan mengikut gred mutiara,saiz dan bahan ikatnya seperti emas, perak dan sebagainya. Greenhills memang menjadi tempat tumpuan pelancong disini.Terdapat banyak pilihan keronsang,cincin, rantai, gelang tangan , subang dan sebagainya.Sedikit kecewa tidak dapat berlama-lama mencuci mata, kerana si kecil berdua ini sudah bagai cacing kepanasan.











InsyaAllah, sedikit masa lagi akan saya bawakan si cantik manis ini ke Malaysia untuk rakan- rakan sekelian . Saya masih dalam fasa menyiapkan kedai online saya untuk memasarkan hasil laut ini.

Doakan saya..

Wassalam



Selasa, 15 Disember 2015

Entry 2: Selamat Hari Jadi Rania


Teks: Fauziah Mahmod
Foto :Simpanan Peribadi


2 minggu kami di Makati, 23 Oktober adalah harijadi puteri kami, Rania Imani yang ke 3. Sayu juga mengenangkan harijadinya yang terpaksa diraikan di perantauan dikala kami masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri. Tiada atuk, nenek, tokteh, Wan K , kakak Dina dan yang lain untuk menyanyikan lagu harijadi bersama.Ucapan harijadi cuma melalui telefon dan "whatsapp".

Sambutan harijadi yang ringkas dirumah pada hari Sabtu. Kami membeli kek di kedai Wildflour Cafe di Leviste Street. Sangat sedap! Rasa coklat yang begitu kaya. Takut tidak habis, kami cuma membeli dua potong kek. Mencabar tapi akhirnya kami berjaya menghabiskan dua potong kek tersebut dalam masa 5 hari. Ha! Ha!

Ahad, kami dijemput menghadiri perjumpaan dibawah kelolaan "Malaysian Association of the Philipines". Ramai juga orang kita disini. Selain dari staf-staf kedutaan, syarikat carigali minyak, syarikat - syarikat multinasional IT, ada juga orang kita yang bekerja sebagai chef, pengurus hotel dan sebagainya. Sambutan harijadi diadakan bagi mereka yang dilahirkan pada bulan Oktober, dan Rania yang paling gembira kerana kami semua dijamu dengan durian dari Davao. 5 ulas durian dihabiskan , tidak menoleh kiri dan kanan.

Dua, tiga minggu ini kami hanya berlegar di sekitar Salcedo Village. Sementara menunggu talian internet, telefon dan tv dipasang, Salcedo Park adalah tempat kunjungan kami setiap hari. Banyak juga yang dibualkan dengan pembantu- pembantu rumah sementara menunggu anak bermain. Selain dari Tagalog, kebanyakan masyarakat disini boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan agak ramah.

Rindu menebal pada mereka yang berada di Malaysia. Namun hidup perlu tabah dan positif, Allah takkan menguji seseorang melebihi kemampuannya.

Wassalam.

Entri 1: Makati Bandar Ekspatriat...


Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi


Hari pertama menjejakkan kaki di Filipina, dari lapangan terbang kami menghala ke "Salcedo Village". Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Manila, mengambil masa lebih kurang 4 jam. Sesampai di Manila, kami dijemput oleh wakil dari kedutaan. Trafik yang sangat teruk menjadikan perjalanan kami yang sepatutnya setengah jam sahaja, memakan masa hampir 3 jam ke Salcedo Village. Petua untuk sesiapa yang mahu ke Manila, kalau boleh elakkan mengambil penerbangan di hari Jumaat kerana hari yang barakah ini sangat luar biasa kesesakannya.

Salcedo Village adalah salah satu  kawasan yang terletak di Makati, Filipina. Di sini saya melihat populasi masyarakat antarabangsa memenuhi kebanyakan kondominium dan pangsapurinya. Kalau di Malaysia, kita boleh samakan persekitarannya dengan Bukit Bintang atau Damansara. Konsep metropolitan dan infrastruktur tersusun dapat dilihat di kawasan ini. Di sini, kebanyakan premis seperti bank, pejabat, kedai serbaneka, taman rekreasi, kedai gunting rambut, kedai dobi dan sebagainya boleh dituju dengan hanya berjalan kaki. Maybank pun ada disini ya!



Salah satu tarikan di Salcedo Village adalah pasar Sabtunya atau lebih dikenali sebagai "Saturday Market". Terdapat pelbagai jenis makanan , sayur sayuran, buah buahan dan sebagainya di jual di sini. Gerai- gerai tersusun rapi, menjadikan ia tarikan utama setiap hari Sabtu. Harga barangannya juga sedikit tinggi dari kawasan yang lain. Kedudukan pasar yang terletak di sebelah taman rekreasi Salcedo Park, membolehkan pengunjung berehat sebentar sambil menikmati makanan yang dibeli di "Saturday Market". Saya juga menemui sosej halal yang dijual oleh seorang warganegara Morocco.



Salcedo Park, tempat kegemaran anak- anak saya bermain setiap hari. Diwaktu pagi, terutama di hari bekerja, akan kelihatan pembantu rumah membawa anak-anak majikannya yang kecil bermain disini. Diwaktu petang pula, taman ini akan dipenuhi oleh kanak-kanak yang bersekolah. Awas! Orang dewasa tidak dibenarkan menggunakan permainan kanak-kanak, dan bola juga tidak dibenarkan disini. Terkadang, saya melihat pengawal keselamatan datang menegur andai ada "undang-undang" seperti diatas tidak dituruti.





Huh.. Selesai sudah menulis, saya mahu menikmati secawan kopi panas. Jumpa lagi dientri akan datang.

Wassalam.




Sabtu, 12 Disember 2015

Tentang Penulis


Teks : Fauziah Mahmod
Foto : Carian Google

Segala Puji bagi Allah , Tuhan Sekelian Alam...

Salam Perkenalan semua. Nama saya Fauziah binti Mahmod, anak sulung dari 5 beradik. Berasal dari Melaka Bandaraya Bersejarah. Berusia 35 tahun, dan mempunyai sepasang cahaya mata yang masih lagi menikmati alam kanak - kanaknya.  Di saat saya menghasilkan entri ini, saya sudah pun dua bulan meletakkan jawatan saya sebagai "IT Process Expert" di sebuah syarikat multinasional swasta di Cyberjaya. Kini  bertatih menimba pengalaman sebagai ibu yang bekerja dari rumah di bumi Makati, Filipina.

Saya mula mendapat pendidikan peringkat rendah di Sekolah Rendah Dato' Naning, Alor Gajah Melaka. Menamatkan pengajian perigkat menengah di Maktab Rendah Sains Mara Jasin Melaka.Selesai alam persekolahan menengah, saya menjejakkan kaki saya ke Kolej Mara Banting, Selangor untuk program Matrikulasi selama setahun. Perjalanan diteruskan ke Universiti Malaya dalam bidang Sains Komputer selama 3 tahun sebelum mendapat segulung ijazah.

Seperti graduan lain, mencari pekerjaan adalah fasa yang agak getir dan mengujakan Alhamdulillah, perjalanan karier saya agak lancar bermula sebagai "IT Helpdesk" di sebuah syarikat multinasional di Melaka. Saya menerima beberapa kenaikan pangkat sepanjang 7 tahun , di mana jawatan terakhir saya sebagai Jurutera Kanan Sistem ( untuk produk Microsoft) .Selepas berkahwin dengan suami yang bertugas di Putrajaya, saya berpindah ke Cyberjaya pada penghujung Oktober,2010.

Di syarikat baru,saya bertugas sebagai IT Projek Konsultan, bertanggungjawab untuk memastikan projek - projek mengikut piawaian, proses dan polisi yang ditetapkan sebelum diserahkan kepada klien . Sekali lagi kenaikan pangkat sebagai "IT Process Expert"  pada 2014 .Dikala sibuk menguruskan karier dan anak- anak yang saya kira ketika itu sama naiknya , pada bulan Jun 2015 saya dimaklumkan oleh suami yang beliau akan dipindahkan ke luar negara . Suami mahu saya dan anak- anak turut ikut bersama. Kami harus berlepas ke Filipina pada bulan Oktober.



Mengimbangi karier suami, dan keperluan anak anak yang masih kecil, saya tiada pilihan lain melainkan meletakkan jawatan. Perasaan bercampur - baur, tapi saya percaya perancangan Allah yang terbaik. Notis 3 bulan telah saya berikan kepada majikan, Selama 3 bulan itu juga kami membuat persiapan untuk ke Filipina termasuk perancangan apa yang saya akan lakukan bagi memenuhi masa saya disana memandangkan saya akan menjadi surirumah sepenuh masa. Langkah pertama, rumah yang saya inap di Kota Warisan, Selangor saya usahakan sebagai rumah inap sementara ( "Homestay Rumah Inap Iman") bersama rakan saya di Malaysia. Alhamdullillah, kami sudahpun mula mendapat pelanggan .

Peluang yang terbuka luas untuk berada dirumah sepenuh masa, saya berazam untuk mendidik anak- anak sendiri ,dan memasak untuk keluarga memandangkan sebelum ini peluang saya yang agak terbatas. 2 bulan saya di Makati, anak sulung saya yang berusia 4 tahun sudahpun mengenal huruf alif hingga ya. Sudahpun boleh menulis nombor , mengenal huruf ABC  dan mahu bertutur dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris. Yang penting, saya melihat mereka gembira. Perubahan positif untuk saya juga, kemahiran memasak saya bertambah baik. "Patty burger", bebola ayam, bebola udang, kuih bingka, karipap dan sebagainya adalah dari air tangan saya sendiri.

Ke mana-mana saya pergi, saya sangat suka melihat wanita yang pandai menggayakan aksesori seperti keronsang, gelang tangan dan sebagainya. Nah! di Filipina saya boleh menjamu mata melihat aksesori yang dihasilkan dari mutiara, kayu , pelbagai jenis manik dan kerang kerangan . Disamping itu, pelbagai jenis kraftangan unik juga dihasilkan di sini.

Diharapkan dengan blog ini , rakan- rakan maya sekelian akan dapat melihat keunikan aksesori  dan hasil kraf dari Filipina. Di samping itu saya juga akan selitkan pengalaman, tempat - tempat menarik terutama tempat membeli- belah di Filipina dan warna- warni masyarakat disini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami budaya dan kecantikan masyarakatnya.

Wassalam.