Memaparkan catatan dengan label kraftangan filipina. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kraftangan filipina. Papar semua catatan

Khamis, 24 Disember 2015

Entri 9: Tribesmen, Paranaque.Dunia kecil kerang-kerangan.

Teks:Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi

Dalam beberapa entri yang lepas, saya telah berjanji untuk membawa pembaca ke satu lagi tempat kraftangan yang menarik di Filipina. Tempat yang saya kunjungi ini bersama rakan-rakan lain dari Malaysia, menghasilkan kraftangan dari kerang- kerangan. Paranaque (Paranake) cuma terletak setengah jam dari Makati, jika melalui Metro Manila Skyway. Kita akan melintasi bandar Pasay dan Taguig untuk kesana.Kesesakan lalu-lintas menyebabkan kami mengambil masa 2 jam untuk ke Paranaque.

Di Paranaque, pemandu van kami menuju ke kawasan perumahan di Sao Paolo Street. Kami sampai di sebuah rumah dua tingkat yang telah diubah-suai kepada premis perniagaan. Nama kedai tersebut adalah "Tribesmen".

Sesampai sahaja dipintu masuk kedai tersebut, saya melihat banyak kulit -kulit kerang dijemur di hadapan kedai, dan bau air laut menusuk ke hidung dengan begitu kuat sekali. Kami disambut mesra oleh tuan punya kedai. Tidak pula saya melihat jika ada laut berhampiran premis ini. Mungkin mereka mendapat bekalan bahan mentahnya dari tempat lain.

Di tingkat bawah adalah tempat dimana para pekerjanya menyiapkan kraftangan dan tingkat atas adalah ruang pamerannya. Semuanya warga tempatan. Filipina adalah sebuah negara yang besar,lebih dari 100 juta penduduknya dan tenaga kerja tempatannya mudah didapati. Beberapa tempat yang telah saya kunjungi, saya melihat orang tempatan masih memonopoli bidang pekerjaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi. Tidak seperti di Malaysia, sejajar dengan peningkatan taraf pendidikan,kita sudah mula meninggalkan pekerjaan peringkat bawahan seperti pengawal keselamatan, pembantu rumah dan sebagainya. Pendapat saya, ini adalah fenomena biasa negara membangun.

Pelbagai jenis kraftangan dihasilkan dari kulit kerang seperti aksesori wanita, pasu, tempat menyimpan barang kemas, cermin, lampu tidur dan sebagainya. Ada juga kulit kerang dan siput dijual begitu sahaja. Mungkin cantik diletakkan didalam bekas lutsinar .Harganya pula agak berpatutan.


Yang agak menarik perhatian saya, terdapat bunga ros yang diperbuat dari kulit siput. Pelbagai warna dan saiz. Sesuai dijadikan sebagai bunga perhiasan. Kami juga membeli beberapa barangan untuk dijadikan cenderahati buat mereka di Malaysia.

Sudah pukul 5.18 petang disini. Sebentar lagi akan masuk waktu untuk solat maghrib. Saya mahu bersiap sedia menunaikan solat .

Semoga kita berjumpa lagi. Wassalam.











Selasa, 22 Disember 2015

Entri 8: Si abang dan Raniaimanicrafts

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan peribadi


Selesai makan tengahari. Si kecil berdua sedang tidur. Hari Isnin yang lepas, kami sekeluarga telah ke King School Manila, untuk si abang menghadiri sesi penilaian sebelum pendaftaran. Sebelum itu, kami telahpun melawat sekitar sekolah ini dan sebuah sekolah lain , International School Manila(ISM). Beza kedua sekolah ini adalah King School berteraskan pendidikan British, dan ISM dari Amerika Syarikat. Selain dari King School dan ISM, terdapat juga beberapa pilihan sekolah antarabangsa disini.

Dalam memilih sekolah, saya serahkan kepada anak saya di mana yang mereka suka. Asalkan hati gembira dan mahu belajar. Pada saya, pendidikan akademi penting , tetapi yang paling penting adalah agama,akhlak dan sahsiahnya. Itu cabaran besar bagi kami disini. Tidak mengapa jika anak saya berpencapaian sederhana, tapi bersikap jujur, tahu meminta maaf jika berbuat salah,hormatkan orang tua dan tidak meninggalkan solat. Itu lebih bermakna.

Selesai sesi penilaian, dan berbincang tentang prestasi si abang. Pentadbir sekolah mengucapkan tahniah dan menyatakan anak kami diterima masuk. Alhamdulillah. Abang akan memulakan sesi persekolahan pada Januari, 2016. Kelengkapan sekolah seperti uniform, stokin, peralatan menulis dan sebagainya telah kami siapkan. 

Masa senggang, saya gunakan untuk menyiapkan kedai online saya. Raniaimanicrafts.Nama kedai online ini saya ambil sempena nama anak kedua saya. Kedai ini akan menjual aksesori wanita dan barangan kraftangan dari Filipina. Sudah selesai nanti akan saya kongsikan bersama pembaca yang dihormati sekelian di "facebook". Penghantaran ke Malaysia akan dibuat pada hujung Disember nanti. InsyaAllah, saya jangkakan penghujung bulan satu Raniaimanicrafts akan mula beroperasi.

Kalau mahu tahu perkembangan Raniaimanicrafts jangan lupa "follow" blog saya ini.

Saya belanja sikit gambar-gambar produk Raniaimanicrafts untuk tatapan pembaca semua. Pelbagai pilihan aksesori dan hasil kraftangan dari Filipina akan akan dapat dilihat melalui Raniaimanicrafts "facebook" nanti!

Nantikan kami ya! Wassalam.