Memaparkan catatan dengan label bisnes aksesori dari rumah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bisnes aksesori dari rumah. Papar semua catatan

Ahad, 10 Januari 2016

Entri 20 : Isnin yang bersemangat!

Teks:Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google




Beberapa hari lagi, akan masuk pertengahan Januari, 2016. Masa yang pantas meninggalkan kita.
Di Makati, cuaca panas sekitar 31darjah celcius disini. Saya juga sudah lama tidak ke taman "Salcedo Park" kerana urusan pindah rumah.

Seminggu abang bersekolah, saya melihat dia gembira.Tetapi agak kepenatan, kerana sesi persekolahan berakhir pada 2.30 petang. Menaiki van sekolah, biasanya abang akan sampai ke rumah pada pukul 3.40 petang. Kami harus mengqada' sesi mengajinya yang banyak ditinggalkan sejak 2 minggu kebelakangan ini. Bersekolah di sekolah antarabangsa ada kelebihannya, tetapi pada pendapat saya ibubapa juga harus kuat dalam membimbing anak-anak tentang pendidikan agama. Ini betul-betul cabaran buat kami.

Si adik, berseorangan apabila abang ke sekolah. Saya masih dalam usaha mengajarnya menulis, dan mengenal nombor sebagai persediaan untuk bersekolah pada tahun hadapan. Ada rakan kami yang akan sampai ke Filipina ini pada bulan Februari akan akan datang. Saya sudah siapkan senarai barangan yang mahu dikirim dari Malaysia. Keropok ikan, sudah pasti!

Isnin yang bersemangat, saya sedang menambahbaik blog Homestay Rumah Inap Iman saya. Semoga momentum Isnin dan hari-hari lain akan sentiasa begini, bersemangat dan produktif!

Wassalam.

Jumaat, 8 Januari 2016

Entri 17 : Jeepney dan Pedicab

Teks: Fauziah Mahmod
Foto:Simpanan Peribadi

Menyusuri jalanraya sekitar Makati, boleh saya simpulkan ia adalah sebuah bandar yang sibuk dengan keadaan trafik yang agak menduga perasaan. Kami kalau mahu kemana-mana, biasanya akan memilih pagi Sabtu, atau pada hari Ahad. Hari Ahad, jalanraya nya agak lengang sementelah ramai dari warganya yang beragama Kristian, berada di gereja.

Kenderaan awam yang popular disini, adalah MRT, LRT, teksi,keretapi, bas, jeepney dan pedicab. Jeepney dan pedicab adalah dua kenderaan yang agak unik untuk saya kongsikan bersama pembaca.

Jeepney berbentuk seperti gabungan van dan "jeep". Di sesetengah tempat, jeepney tidak dibenarkan masuk. Terdapat pelbagai warna, dan untuk satu satu masa, jeepney ini saya anggarkan boleh memuatkan 20 orang. Jeepney ini sukar diramal, kadangkala ia boleh berhenti dimana-mana sahaja ia suka tanpa menghiraukan kesesakan yang ada.




Pedicab atau tricycle banyak kelihatan jika kita keluar sedikit dari Salcedo Village. Ia kelihatan seperti beca. Ada yang menggunakan motosikal dan ada pula yang menggunakan basikal disambungkan dengan tempat penumpangnya. Difahamkan jeepney dan pedicab adalah alternatif kenderaan awam yang termurah disini.



Saya masih belum berkesempatan menaiki kedua-dua kenderaan ini. InsyaAllah jika keadaan mengizinkan saya akan mencubanya.

Wassalam.

Selasa, 5 Januari 2016

Entri 16: Bila Pondel bersekolah

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi

4 Januari, 2016 . Pondel saya akan ke sekolah. “Pondel” adalah perkataan sebelah Negeri Sembilan untuk orang yang badannya berisi.  Kadang-kadang, abang akan kami usik dengan panggilan ini. Pagi Isnin, kami bangun seawal 5.30 pagi menyiapkan sarapan, solat dan mengejutkan abang untuk mandi. Sekolah akan bermula pada jam 7.55 pagi.

Setelah menghabiskan sebotol susu, barulah abang bergerak untuk mandi. Selesai mandi dan berpakaian, kami bersarapan bersama. Anak yang sulung ini, kurang sedikit kerisauan saya kerana dia pandai bercampur dan bergaul dengan rakan-rakan. Abang akan ke King School, Manila . Salah satu sekolah antarabangsa disini.  Sekolah ini juga menyediakan makanan tengahari . Jenis makanan akan diberikan kepada pelajar berdasarkan  lencana atau “tag”. Untuk anak- anak muslim hanya makanan halal akan disajikan. Sesi persekolahan akan berakhir pada pukul 2.30 petang.

Hari pertama ke sekolah, kami menghantar abang ke King School. Kami bertolak pada pukul 7 pagi, dan sampai pada pukul 7.20 pagi. Masih awal. Kelihatan anak-anak yang lain sedang bermain-main di padang sekolah, ada yang berehat di tepi koridor dan sebagainya sementara menunggu waktu kelas bermula. Abang nampak bersemangat, dan gembira! Tepat pukul 7.50 pagi, kami menghantarnya ke kelas, Teacher Rachel menyambut kami dan berbual sebentar.

Kelas yang kecil, persekitaran yang kondusif untuk anak-anak belajar. Setelah bersalaman, abang menyuruh kami pulang ke rumah. Okay! Nampak yakin!





Untuk anak-anak di Malaysia, saya ucapkan selamat belajar. Semoga kekal cemerlang bukan sahaja pada akademik, juga sahsiah dan nilai diri.

Wassalam. 

Isnin, 4 Januari 2016

Entri 15: 2016, permulaan yang mencabar

Teks :Fauziah Mahmod


Kami menyambut tahun baru di Makati. Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di luar negara. Seperti entri saya yang lepas, beberapa minggu sebelum tahun baru telah kelihatan lampu-lampu berwarna- warni menghiasi jalanrayanya.

Cabaran baru bermula bagi kami apabila terpaksa berpindah dari pangsapuri yang kami duduki. Kontrak berakhir pada 31 Disember, 2015 dan kami akan ditempatkan di rumah transit sementara mencari penempatan yang baru di sekitar Salcedo Village. Kadar sewa yang dinaikkan dan nilai tukaran semasa matawang Malaysia yang jatuh untuk menyerap kenaikan kadar sewa tersebut, menyebabkan kami perlu mencari alternatif lain. Banyak urusannya bila berpindah. Talian telefon, pertukaran alamat surat menyurat, talian internet perlu diselesaikan segera. Sekarang semuanya masih di dalam proses. Ini adalah senario biasa bagi staf-staf yang ditempatkan diluar negara.Tetapi, ada juga kedutaan kita yang menyediakan kuarters untuk staf-staf kedutaan.

Proses penyerahan rumah sewa di Filipina, dari pengalaman saya adalah sangat tersusun dan sistematik. Pada hari tersebut, penyewa hendaklah memastikan rumah dalam keadaan tersusun dan bersih, sama seperti hari mula-mula kita masuk ke rumah tersebut.  Peralatan elektrik, perabot-perabot yang ada akan di audit berdasarkan senarai inventori rumah tersebut. Jika ada peralatan yang rosak atau hilang, penilaian akan dibuat dan seterusnya penyewa hendaklah membayar gantirugi.

Barang-barang telah dikemaskan, pakaian, kasut-kasut, permainan anak-anak. Stress juga! Ha ha! 
Ketiadaan talian internet juga menyebabkan penambahbaikan kedai online kami “RaniaImaniCraft”, dan pengiklanan internet “Homestay Rumah Inap Iman” tergendala sebentar. Abang yang akan mula bersekolah pada 4 Januari ini juga menyebabkan kami suami-isteri agak sibuk menguruskan persekolahan abang, dan urusan pindah rumah. Saya cuma berpeluang melayari internet jika singgah dipremis-premis yang menawarkan “WIFI” percuma.

Semoga saya tabah.

Wassalam.



Isnin, 28 Disember 2015

Entri 12 : Enchanted Kingdom, Santa Rosa

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi & Carian Google



Enchanted Kingdom adalah salah satu lagi tarikan di Filipina, jika lokasi kita disekitar Makati. Enchanted Kingdom ini terletak di Santa Rosa, bandar Laguna. Dari Makati, ia mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai ke sana. 

Bersama satu lagi keluarga Malaysia, kami telah menyewa sebuah van untuk ke sana pada hari Ahad yang lepas. Sebelum bertolak, saya telah melakukan sedikit carian internet jika ada bilik solat atau masjid berhampiran di Enchanted Kingdom ini. Dari hasil carian saya, tiada bilik solat yang disediakan di Enchanted Kingdom, tetapi terdapat masjid berhampiran , 10 minit dari Enchanted Kingdom di dalam bandar Laguna juga.

Kami sampai ke Enchanted Kingdom ini pada lebih kurang pukul 10 pagi. Ramai sungguh orang yang beratur membeli tiket!Sinaran matahari terik seakan tidak memberi kesan kepada pengunjung-pengunjung mendapatkan tiket masing-masing. Tiket dewasa berharga 600 peso, dan kanak-kanak 300 peso. 600 peso adalah lebih kurang RM60 . 
Di Enchanted Kingdom ini terdapat pelbagai permainan, yang biasa kita jumpai seperti di Universal Studio, Singapura, Genting Highland dan sebagainya. Kawasannya luas dan besar.Banyak juga permainan untuk kanak-kanak. Tetapi untuk sesetengah permainan, ketinggian adalah faktor penentu jika kanak- kanak itu  boleh bermain permainan tersebut atau tidak. Makanan dari luar juga tidak dibenarkan masuk.



Kami biarkan anak-anak memuaskan hati masing-masing dengan bermain permainan yang ada. Hampir pukul 1.30 tengahari, kami memutuskan untuk bersolat zohor sahaja di taman tema ini. Kami mencuba nasib di premis kliniknya untuk tumpang bersolat. Staf tersebut sangat bertimbang-rasa dan memberi kami laluan untuk bersolat di dalam salah satu bilik pesakitnya. Berbual sebentar dengan staf disitu, dia menyatakan bahawa jumlah pelawat pada hari itu, adalah lebih kurang 18ribu orang. Pada hari sebelumnya, jumlah pelawat mencecah 21 ribu orang. Rata-rata pengunjugnya adalah pelancong tempatan.Selesai bersolat, perut pun sudah berkeroncong. Kami keluar ke tempat parkir mendapatkan van , dan makan tengahari di dalam van tersebut.

Setelah selesai makan, barulah kami masuk semula ke Enchanted Kingdom. Disini, dibenarkan membeli tiket, keluar sebentar dan masuk semula. Hajat mahu mencuba semua permainan untuk dewasa tidak kesampaian. Anak -anak masih mahu mencuba pelbagai permainan. Pukul 4.30 petang, kamipun mula bertolak balik.

Anak- anak tersenyum riang. Saya juga tersenyum kerana selepas ini kami akan ke rumah kak Zah, kerana jemputan makan malam. Cuti masak malam ini. He! He!

Wassalam.




Sabtu, 26 Disember 2015

Entri 11: Pusat membeli-belah sekitar Makati

Teks: Fauziah Mahmod
Foto : Simpanan Peribadi & Carian Google.

Terdapat banyak pusat membeli belah di sekitar Makati. Antara yang pernah saya kunjungi adalah Greenbelt, Glorietta, Landmark dan SM . Jika mahu tahu lebih lanjut, boleh lah ke pautan Makati Shopping ini. Terdapat banyak pilihan pakaian, kasut, dan tempat makanan. Haruslah cabaran besar bagi kita orang Islam disini , kerana sukar untuk mendapatkan restoran yag halal. Seperti biasa, kalau ke mana-mana, saya akan membawa sedikit bekalan makanan dari rumah.

Hari Jumaat yang lepas adalah cuti umum di sini, kerana sambutan hari Krismas. Jalanraya di Makati sudah kosong dan lengang . Keadaannya boleh disamakan dengan Kuala Lumpur, sementelah majoriti wargakotanya bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Krismas bersama keluarga.

Kami mengambil kesempatan membawa anak-anak ke pusat membeli-belah. Kami ke Greenbelt. Greenbelt adalah pusat membeli-belah yang sangat besar dan setiap bangunannya mempunyai nombor. Greenbelt 1,2,3 hingga 5.


Greenbelt 1 mempunyai banyak kedai yang elektrik . Greenbelt 2 mempunyai banyak restoran "fine dining". Kami ke Timezone, tempat permainan kanak-kanak di Greenbelt 3 di tingkat 3. Terdapat juga panggung wayang, restoran-restoran dan kedai buku disini.  Greenbelt4 dan Greenbelt 5 mempunyai rangkaian butik pakaian dan kasut berjenama seperti LV, Prada, Zara dan lain-lain lagi.

Ramai juga warga kota yang membeli-belah disini. Mungkin terdiri daripada mereka yang memang menetap di Makati, atau yang tidak pulang ke kampung menyambut Krismas.


 Dari Greenbelt 3 , ia disambungkan dengan jambatan ke pasaraya Landmark. Landmark saya perhatikan adalah untuk pengguna kelas menengah dan biasa.  Dari bawah jambatan, kelihatan penumpang berbaris disini untuk menaiki jeepney. Difahamkan barisan ini adalah jauh lebih panjang pada hari biasa.

Kami tidak lama disini, memandangkan tujuan asal cuma untuk membawa anak -anak berjalan-jalan. Dimana-mana, kalau dikota itulah pemandangannya di hari perayaan . Untuk yang tidak pulang ke kampung akan menghabiskan masa di pusat membeli-belah , jalanraya yang kosong dan tiada kesesakan jalanraya kerana majoriti sudah bertolak keluar dari Makati.





Wassalam.


Khamis, 24 Disember 2015

Entri 9: Tribesmen, Paranaque.Dunia kecil kerang-kerangan.

Teks:Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi

Dalam beberapa entri yang lepas, saya telah berjanji untuk membawa pembaca ke satu lagi tempat kraftangan yang menarik di Filipina. Tempat yang saya kunjungi ini bersama rakan-rakan lain dari Malaysia, menghasilkan kraftangan dari kerang- kerangan. Paranaque (Paranake) cuma terletak setengah jam dari Makati, jika melalui Metro Manila Skyway. Kita akan melintasi bandar Pasay dan Taguig untuk kesana.Kesesakan lalu-lintas menyebabkan kami mengambil masa 2 jam untuk ke Paranaque.

Di Paranaque, pemandu van kami menuju ke kawasan perumahan di Sao Paolo Street. Kami sampai di sebuah rumah dua tingkat yang telah diubah-suai kepada premis perniagaan. Nama kedai tersebut adalah "Tribesmen".

Sesampai sahaja dipintu masuk kedai tersebut, saya melihat banyak kulit -kulit kerang dijemur di hadapan kedai, dan bau air laut menusuk ke hidung dengan begitu kuat sekali. Kami disambut mesra oleh tuan punya kedai. Tidak pula saya melihat jika ada laut berhampiran premis ini. Mungkin mereka mendapat bekalan bahan mentahnya dari tempat lain.

Di tingkat bawah adalah tempat dimana para pekerjanya menyiapkan kraftangan dan tingkat atas adalah ruang pamerannya. Semuanya warga tempatan. Filipina adalah sebuah negara yang besar,lebih dari 100 juta penduduknya dan tenaga kerja tempatannya mudah didapati. Beberapa tempat yang telah saya kunjungi, saya melihat orang tempatan masih memonopoli bidang pekerjaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi. Tidak seperti di Malaysia, sejajar dengan peningkatan taraf pendidikan,kita sudah mula meninggalkan pekerjaan peringkat bawahan seperti pengawal keselamatan, pembantu rumah dan sebagainya. Pendapat saya, ini adalah fenomena biasa negara membangun.

Pelbagai jenis kraftangan dihasilkan dari kulit kerang seperti aksesori wanita, pasu, tempat menyimpan barang kemas, cermin, lampu tidur dan sebagainya. Ada juga kulit kerang dan siput dijual begitu sahaja. Mungkin cantik diletakkan didalam bekas lutsinar .Harganya pula agak berpatutan.


Yang agak menarik perhatian saya, terdapat bunga ros yang diperbuat dari kulit siput. Pelbagai warna dan saiz. Sesuai dijadikan sebagai bunga perhiasan. Kami juga membeli beberapa barangan untuk dijadikan cenderahati buat mereka di Malaysia.

Sudah pukul 5.18 petang disini. Sebentar lagi akan masuk waktu untuk solat maghrib. Saya mahu bersiap sedia menunaikan solat .

Semoga kita berjumpa lagi. Wassalam.











Selasa, 22 Disember 2015

Entri 8: Si abang dan Raniaimanicrafts

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan peribadi


Selesai makan tengahari. Si kecil berdua sedang tidur. Hari Isnin yang lepas, kami sekeluarga telah ke King School Manila, untuk si abang menghadiri sesi penilaian sebelum pendaftaran. Sebelum itu, kami telahpun melawat sekitar sekolah ini dan sebuah sekolah lain , International School Manila(ISM). Beza kedua sekolah ini adalah King School berteraskan pendidikan British, dan ISM dari Amerika Syarikat. Selain dari King School dan ISM, terdapat juga beberapa pilihan sekolah antarabangsa disini.

Dalam memilih sekolah, saya serahkan kepada anak saya di mana yang mereka suka. Asalkan hati gembira dan mahu belajar. Pada saya, pendidikan akademi penting , tetapi yang paling penting adalah agama,akhlak dan sahsiahnya. Itu cabaran besar bagi kami disini. Tidak mengapa jika anak saya berpencapaian sederhana, tapi bersikap jujur, tahu meminta maaf jika berbuat salah,hormatkan orang tua dan tidak meninggalkan solat. Itu lebih bermakna.

Selesai sesi penilaian, dan berbincang tentang prestasi si abang. Pentadbir sekolah mengucapkan tahniah dan menyatakan anak kami diterima masuk. Alhamdulillah. Abang akan memulakan sesi persekolahan pada Januari, 2016. Kelengkapan sekolah seperti uniform, stokin, peralatan menulis dan sebagainya telah kami siapkan. 

Masa senggang, saya gunakan untuk menyiapkan kedai online saya. Raniaimanicrafts.Nama kedai online ini saya ambil sempena nama anak kedua saya. Kedai ini akan menjual aksesori wanita dan barangan kraftangan dari Filipina. Sudah selesai nanti akan saya kongsikan bersama pembaca yang dihormati sekelian di "facebook". Penghantaran ke Malaysia akan dibuat pada hujung Disember nanti. InsyaAllah, saya jangkakan penghujung bulan satu Raniaimanicrafts akan mula beroperasi.

Kalau mahu tahu perkembangan Raniaimanicrafts jangan lupa "follow" blog saya ini.

Saya belanja sikit gambar-gambar produk Raniaimanicrafts untuk tatapan pembaca semua. Pelbagai pilihan aksesori dan hasil kraftangan dari Filipina akan akan dapat dilihat melalui Raniaimanicrafts "facebook" nanti!

Nantikan kami ya! Wassalam.













Ahad, 20 Disember 2015

Entri 6: Solat itu tiang agama


Teks: Fauziah Mahmod
Foto : Carian Google

Masih teringat, hari pertama sampai di Makati kami dijemput menghadiri makan malam pada 6.15 petang. Sedikit terperanjat apabila melihat keadaan 6.15 petang itu sudah gelap seperti 8 malam . Kalau di Malaysia, di waktu itu, anak-anak saya masih lagi bermain di padang permainan dibelakang rumah.

Filipina dan Malaysia adalah dalam zon masa yang sama. Contohnya 9 pagi di Malaysia adalah juga 9 pagi di Filipina. Beriklim khatulistiwa, hujan dan panas sepanjang tahun. Cuma disini, waktu matahari terbit dan matahari terbenamnya adalah lebih awal. Waktu Subuh bermula lebih kurang pukul 4.30 pagi. Pukul 6 pagi kita sudah melihat keadaan seperti pukul 7 pagi di Malaysia. Waktu isyak akan bermula lebih kurang pukul 6.45 petang. Untuk para muslimin,solat jumaat juga diadakan dibangunan Kedutaan Malaysia, dan ia terbuka kepada semua.

Melalui pembacaan saya, lebih dari 90% rakyat Filipina beragama Kristian. Ini dapat dilihat dengan banyaknya gereja didirikan di serata tempat. Islam adalah agama minoriti disini.

Untuk arah kiblat, Makati berada 289' dari arah utara. Kalau mahu kemana- mana, saya cadangkan untuk keluar setelah selesai solat di awal waktu. Bagaimanapun, tidak perlu risau jika mahu membeli -belah di Greenhills, kerana terdapat tempat untuk bersolat disana!


Diharap perkongsian kali ini dapat memberi sedikit panduan kepada kita semua.

Wassalam.

Sabtu, 19 Disember 2015

Entri 5: Pasu pasu pasu!


Teks : Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan sendiri & Carian Google


Awal Disember yang lalu, saya dan beberapa rakan Malaysia yang lain telah pergi ke Pampanga. Yang menariknya, rombongan ini hanya untuk wanita, rombongan cik kiah kata orang! Sasaran utama kami adalah untuk melihat pasu dan hasil kraf yang dihasilkan di Santo Tomas, Pampanga. Jadi, ibu bercuti sekejap dari tugas hakiki , giliran abah pula menemani anak- anak dirumah pada hujung minggu. Dari Makati, kami bertolak pada pukul 9 pagi.



Santo Tomas terletak kira- kira 70 Km dari Makati. Kita akan melalui Lebuhraya Luzon hingga persimpangan keluar Sto Tomas, Son Simon. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang satu jam 15 minit jika tiada kesesakan jalan raya. Jika trafik sesak, ia boleh mengambil masa lebih 2 jam, seperti yang dilaporkan di Google Map seperti diatas. Dilebuhraya ini pemandu -pemandu kenderaaan akan dikenakan bayaran tol.

Keluar dari bandar Makati, kita akan melalui kawasan penanaman padi di hampir sepanjang lebuh raya Luzon ke Santo Tomas. Terdapat juga rumah perseorangan yang didirikan berhampiran sawah padi.


Santo Tomas adalah pekan yang kecil. Kebanyakan premis rumah dan kedai dibina sebelah menyebelah.  Kebanyakan penduduknya mengusahakan pembuatan pasu dari tanah liat. Biasanya pasu-pasu ini di jual 3 biji satu set. Pembuatannya adalah dari dalam kedai sendiri. Kebanyakan perniagaan ini adalah dibuat secara kecil-kecilan dan sederhana berdasarkan saiz kedai yang ada.


3 biji atau satu set pasu biasanya berharga lebih kurang RM80 hingga 120 .Sangat murah! Tinggi untuk sebiji pasu lebih dari satu meter! Selain dari pasu ada juga hasil kraf lain, seperti air terjun tiruan yang dibuat dari tanah liat. Kita juga boleh menempah pasu mengikut kehendak kita.

Jam sudah menunjukkan jam 2.30 petang, Kami akan berpatah balik menuju satu tempat yang menghasilkan kraftangan dari kerangan -kerangan. Saya akan kongsikan bersama pembaca di salah satu entri saya yang akan datang . Tunggu ya !

InsyaAllah, saya akan kembali lagi ke sini lagi. Di bawah halaman ini, saya sajikan foto- foto pasu dan kraftangan dari Pampanga untuk anda semua.



Selamat mencuci mata! Wassalam.