Memaparkan catatan dengan label Filipina. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filipina. Papar semua catatan

Isnin, 11 Januari 2016

Entri 21: Halo halo dan ABC

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google

Segala yang manis-manis memang kegemaran saya. Saya peminat ABC! Tekstur aisnya yang halus, sirap, jagung, hmmm... serasa mahu terbang balik ke Malaysia.

Di Filipina, terdapat juga minuman seakan ABC dipanggil Halo-halo atau dalam bahasa Melayunya bermaksud "campuran buah-buahan". Saya membelinya dari restoran makan segera "Chaw King". Ia boleh di dapati dimana-dimana di sini. Tekstur ais halo-halo adalah lebih kasar dari ABC.Di dalamnya terdapat gula kabung, kacang merah, nangka, nata de coco, dan ubi ( berwarna ungu). Di atasnya diletakkan aiskrim dan kemudian susu cair.


Pendapat peribadi saya, saya lebih menyukai ABC kerana tekstur aisnya yang lebih halus.  Tepuk dada tanya selera. 

Jangan lupa mencuba Halo-halo andai tiba di Filipina!

Wassalam.


Jumaat, 8 Januari 2016

Entri 18 : 7 habits of highly effective people

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google

Yeay! Masalah internet saya sudah selesai semalam.Selesai solat subuh. Seperti biasa saya merancang apa yang akan dibuat untuk hari ini. Tiba - tiba saya teringat kursus yang pernah saya ambil semasa bekerja dahulu. " 7 habits of highly effective people", oleh Franklin Covey.

Ini adalah kursus yang sangat bagus, menjana semangat dan minda positif. Saya sentiasa berpegang kepada 7 sifat ini, sewaktu mula bekerja dahulu  sehingga sekarang.


Antara yang menjadi kegemaran saya adalah, "Be Proactive" dan "Think Win Win" . Saya masih teringat salah satu temuduga saya, apabila penemuduga bertanya bagaimana saya menguruskan konflik sesama rakan sekerja.  Jawapan saya, cuba untuk memberi kemenangan  pada semua pihak, selalunya jika begitu konflik akan dapat dielakkan sama sekali.

Walau apapun keadaannya, selamat menjana hari yang positif. Semoga diberkati Allah selalu. 

Wassalam. 

Isnin, 4 Januari 2016

Entri 15: 2016, permulaan yang mencabar

Teks :Fauziah Mahmod


Kami menyambut tahun baru di Makati. Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di luar negara. Seperti entri saya yang lepas, beberapa minggu sebelum tahun baru telah kelihatan lampu-lampu berwarna- warni menghiasi jalanrayanya.

Cabaran baru bermula bagi kami apabila terpaksa berpindah dari pangsapuri yang kami duduki. Kontrak berakhir pada 31 Disember, 2015 dan kami akan ditempatkan di rumah transit sementara mencari penempatan yang baru di sekitar Salcedo Village. Kadar sewa yang dinaikkan dan nilai tukaran semasa matawang Malaysia yang jatuh untuk menyerap kenaikan kadar sewa tersebut, menyebabkan kami perlu mencari alternatif lain. Banyak urusannya bila berpindah. Talian telefon, pertukaran alamat surat menyurat, talian internet perlu diselesaikan segera. Sekarang semuanya masih di dalam proses. Ini adalah senario biasa bagi staf-staf yang ditempatkan diluar negara.Tetapi, ada juga kedutaan kita yang menyediakan kuarters untuk staf-staf kedutaan.

Proses penyerahan rumah sewa di Filipina, dari pengalaman saya adalah sangat tersusun dan sistematik. Pada hari tersebut, penyewa hendaklah memastikan rumah dalam keadaan tersusun dan bersih, sama seperti hari mula-mula kita masuk ke rumah tersebut.  Peralatan elektrik, perabot-perabot yang ada akan di audit berdasarkan senarai inventori rumah tersebut. Jika ada peralatan yang rosak atau hilang, penilaian akan dibuat dan seterusnya penyewa hendaklah membayar gantirugi.

Barang-barang telah dikemaskan, pakaian, kasut-kasut, permainan anak-anak. Stress juga! Ha ha! 
Ketiadaan talian internet juga menyebabkan penambahbaikan kedai online kami “RaniaImaniCraft”, dan pengiklanan internet “Homestay Rumah Inap Iman” tergendala sebentar. Abang yang akan mula bersekolah pada 4 Januari ini juga menyebabkan kami suami-isteri agak sibuk menguruskan persekolahan abang, dan urusan pindah rumah. Saya cuma berpeluang melayari internet jika singgah dipremis-premis yang menawarkan “WIFI” percuma.

Semoga saya tabah.

Wassalam.



Sabtu, 26 Disember 2015

Entri 11: Pusat membeli-belah sekitar Makati

Teks: Fauziah Mahmod
Foto : Simpanan Peribadi & Carian Google.

Terdapat banyak pusat membeli belah di sekitar Makati. Antara yang pernah saya kunjungi adalah Greenbelt, Glorietta, Landmark dan SM . Jika mahu tahu lebih lanjut, boleh lah ke pautan Makati Shopping ini. Terdapat banyak pilihan pakaian, kasut, dan tempat makanan. Haruslah cabaran besar bagi kita orang Islam disini , kerana sukar untuk mendapatkan restoran yag halal. Seperti biasa, kalau ke mana-mana, saya akan membawa sedikit bekalan makanan dari rumah.

Hari Jumaat yang lepas adalah cuti umum di sini, kerana sambutan hari Krismas. Jalanraya di Makati sudah kosong dan lengang . Keadaannya boleh disamakan dengan Kuala Lumpur, sementelah majoriti wargakotanya bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Krismas bersama keluarga.

Kami mengambil kesempatan membawa anak-anak ke pusat membeli-belah. Kami ke Greenbelt. Greenbelt adalah pusat membeli-belah yang sangat besar dan setiap bangunannya mempunyai nombor. Greenbelt 1,2,3 hingga 5.


Greenbelt 1 mempunyai banyak kedai yang elektrik . Greenbelt 2 mempunyai banyak restoran "fine dining". Kami ke Timezone, tempat permainan kanak-kanak di Greenbelt 3 di tingkat 3. Terdapat juga panggung wayang, restoran-restoran dan kedai buku disini.  Greenbelt4 dan Greenbelt 5 mempunyai rangkaian butik pakaian dan kasut berjenama seperti LV, Prada, Zara dan lain-lain lagi.

Ramai juga warga kota yang membeli-belah disini. Mungkin terdiri daripada mereka yang memang menetap di Makati, atau yang tidak pulang ke kampung menyambut Krismas.


 Dari Greenbelt 3 , ia disambungkan dengan jambatan ke pasaraya Landmark. Landmark saya perhatikan adalah untuk pengguna kelas menengah dan biasa.  Dari bawah jambatan, kelihatan penumpang berbaris disini untuk menaiki jeepney. Difahamkan barisan ini adalah jauh lebih panjang pada hari biasa.

Kami tidak lama disini, memandangkan tujuan asal cuma untuk membawa anak -anak berjalan-jalan. Dimana-mana, kalau dikota itulah pemandangannya di hari perayaan . Untuk yang tidak pulang ke kampung akan menghabiskan masa di pusat membeli-belah , jalanraya yang kosong dan tiada kesesakan jalanraya kerana majoriti sudah bertolak keluar dari Makati.





Wassalam.


Khamis, 24 Disember 2015

Entri 10: Kedutaan Besar Malaysia, Manila.

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google & Simpanan Peribadi


Saya baru sahaja menghadiri majlis "Sesi bersama Rakyat Malaysia" di bangunan kedutaan Malaysia disini. Majlis makan malam yang sederhana ini dianjurkan oleh kedutaan besar kita untuk seluruh rakyat Malaysia yang berada di Filipina pada 21 Disember lepas. Masakan melayu disajikan bersama kuih -muih didatangkan dari Hotel Berjaya dan Restoran Cili Padi. Saya pernah merasa mi goreng mamak dan lauk-pauk dari Restoran Cili Padi ini. Sungguh! Terubat rindu pada masakan Malaysia. Nak tahu lebih lanjut tentang Restoran Cili Padi? Nanti akan saya ceritakan di entri saya yang akan datang.

Antara yang menarik semasa majlis ini berlangsung, salah seorang pegawai kedutaan  yang bertugas telah menceritakan pengalamannya selama beberapa tahun di Filipina. Kelaziman orang kita ke negara orang , biasanya kita tidak memaklumkan kepada kedutaan kita yang berada disana.  Masalah timbul jika terjadi sesuatu kepada ahli keluarga, dan pihak keluarga menghubungi kedutaan untuk mencari ahli keluarga tersebut. Jika pihak kedutaan dimaklumkan lebih awal, tentang siapa, tujuan dan lokasi yang dituju, proses mengesan mangsa adalah menjadi lebih mudah.

Kedutaan Besar Malaysia, Manila terletak di Salcedo Village Makati.  Jika ingin ke Filipina, kita bolehlah memaklumkan kepada kedutaan kita disini melalui email. Ini pula adalah pautan untuk seluruh kedutaan Malaysia yang berada serata dunia, saya ambil dari laman web Kementerian Luar Negara,
http://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission " . Mungkin boleh dibuat panduan, jika hendak menghubungi kedutaan kita di negara yang lain.

Majlis makan malam yang bermula pada pukul 7 petang, berakhir lebih kurang pada pukul 9.30 malam.  Selesai sepinggan mi goreng , 2 keping karipap dan teh tarik. Perut pun sudah kenyang, perlahan saya berjalan pulang ke kediaman saya.

Wasalam.