Memaparkan catatan dengan label Kedutaan Besar Manila. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kedutaan Besar Manila. Papar semua catatan

Selasa, 5 Januari 2016

Entri 16: Bila Pondel bersekolah

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi

4 Januari, 2016 . Pondel saya akan ke sekolah. “Pondel” adalah perkataan sebelah Negeri Sembilan untuk orang yang badannya berisi.  Kadang-kadang, abang akan kami usik dengan panggilan ini. Pagi Isnin, kami bangun seawal 5.30 pagi menyiapkan sarapan, solat dan mengejutkan abang untuk mandi. Sekolah akan bermula pada jam 7.55 pagi.

Setelah menghabiskan sebotol susu, barulah abang bergerak untuk mandi. Selesai mandi dan berpakaian, kami bersarapan bersama. Anak yang sulung ini, kurang sedikit kerisauan saya kerana dia pandai bercampur dan bergaul dengan rakan-rakan. Abang akan ke King School, Manila . Salah satu sekolah antarabangsa disini.  Sekolah ini juga menyediakan makanan tengahari . Jenis makanan akan diberikan kepada pelajar berdasarkan  lencana atau “tag”. Untuk anak- anak muslim hanya makanan halal akan disajikan. Sesi persekolahan akan berakhir pada pukul 2.30 petang.

Hari pertama ke sekolah, kami menghantar abang ke King School. Kami bertolak pada pukul 7 pagi, dan sampai pada pukul 7.20 pagi. Masih awal. Kelihatan anak-anak yang lain sedang bermain-main di padang sekolah, ada yang berehat di tepi koridor dan sebagainya sementara menunggu waktu kelas bermula. Abang nampak bersemangat, dan gembira! Tepat pukul 7.50 pagi, kami menghantarnya ke kelas, Teacher Rachel menyambut kami dan berbual sebentar.

Kelas yang kecil, persekitaran yang kondusif untuk anak-anak belajar. Setelah bersalaman, abang menyuruh kami pulang ke rumah. Okay! Nampak yakin!





Untuk anak-anak di Malaysia, saya ucapkan selamat belajar. Semoga kekal cemerlang bukan sahaja pada akademik, juga sahsiah dan nilai diri.

Wassalam. 

Khamis, 24 Disember 2015

Entri 10: Kedutaan Besar Malaysia, Manila.

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google & Simpanan Peribadi


Saya baru sahaja menghadiri majlis "Sesi bersama Rakyat Malaysia" di bangunan kedutaan Malaysia disini. Majlis makan malam yang sederhana ini dianjurkan oleh kedutaan besar kita untuk seluruh rakyat Malaysia yang berada di Filipina pada 21 Disember lepas. Masakan melayu disajikan bersama kuih -muih didatangkan dari Hotel Berjaya dan Restoran Cili Padi. Saya pernah merasa mi goreng mamak dan lauk-pauk dari Restoran Cili Padi ini. Sungguh! Terubat rindu pada masakan Malaysia. Nak tahu lebih lanjut tentang Restoran Cili Padi? Nanti akan saya ceritakan di entri saya yang akan datang.

Antara yang menarik semasa majlis ini berlangsung, salah seorang pegawai kedutaan  yang bertugas telah menceritakan pengalamannya selama beberapa tahun di Filipina. Kelaziman orang kita ke negara orang , biasanya kita tidak memaklumkan kepada kedutaan kita yang berada disana.  Masalah timbul jika terjadi sesuatu kepada ahli keluarga, dan pihak keluarga menghubungi kedutaan untuk mencari ahli keluarga tersebut. Jika pihak kedutaan dimaklumkan lebih awal, tentang siapa, tujuan dan lokasi yang dituju, proses mengesan mangsa adalah menjadi lebih mudah.

Kedutaan Besar Malaysia, Manila terletak di Salcedo Village Makati.  Jika ingin ke Filipina, kita bolehlah memaklumkan kepada kedutaan kita disini melalui email. Ini pula adalah pautan untuk seluruh kedutaan Malaysia yang berada serata dunia, saya ambil dari laman web Kementerian Luar Negara,
http://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission " . Mungkin boleh dibuat panduan, jika hendak menghubungi kedutaan kita di negara yang lain.

Majlis makan malam yang bermula pada pukul 7 petang, berakhir lebih kurang pada pukul 9.30 malam.  Selesai sepinggan mi goreng , 2 keping karipap dan teh tarik. Perut pun sudah kenyang, perlahan saya berjalan pulang ke kediaman saya.

Wasalam.