Isnin, 28 Disember 2015

Entri 12 : Enchanted Kingdom, Santa Rosa

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi & Carian Google



Enchanted Kingdom adalah salah satu lagi tarikan di Filipina, jika lokasi kita disekitar Makati. Enchanted Kingdom ini terletak di Santa Rosa, bandar Laguna. Dari Makati, ia mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai ke sana. 

Bersama satu lagi keluarga Malaysia, kami telah menyewa sebuah van untuk ke sana pada hari Ahad yang lepas. Sebelum bertolak, saya telah melakukan sedikit carian internet jika ada bilik solat atau masjid berhampiran di Enchanted Kingdom ini. Dari hasil carian saya, tiada bilik solat yang disediakan di Enchanted Kingdom, tetapi terdapat masjid berhampiran , 10 minit dari Enchanted Kingdom di dalam bandar Laguna juga.

Kami sampai ke Enchanted Kingdom ini pada lebih kurang pukul 10 pagi. Ramai sungguh orang yang beratur membeli tiket!Sinaran matahari terik seakan tidak memberi kesan kepada pengunjung-pengunjung mendapatkan tiket masing-masing. Tiket dewasa berharga 600 peso, dan kanak-kanak 300 peso. 600 peso adalah lebih kurang RM60 . 
Di Enchanted Kingdom ini terdapat pelbagai permainan, yang biasa kita jumpai seperti di Universal Studio, Singapura, Genting Highland dan sebagainya. Kawasannya luas dan besar.Banyak juga permainan untuk kanak-kanak. Tetapi untuk sesetengah permainan, ketinggian adalah faktor penentu jika kanak- kanak itu  boleh bermain permainan tersebut atau tidak. Makanan dari luar juga tidak dibenarkan masuk.



Kami biarkan anak-anak memuaskan hati masing-masing dengan bermain permainan yang ada. Hampir pukul 1.30 tengahari, kami memutuskan untuk bersolat zohor sahaja di taman tema ini. Kami mencuba nasib di premis kliniknya untuk tumpang bersolat. Staf tersebut sangat bertimbang-rasa dan memberi kami laluan untuk bersolat di dalam salah satu bilik pesakitnya. Berbual sebentar dengan staf disitu, dia menyatakan bahawa jumlah pelawat pada hari itu, adalah lebih kurang 18ribu orang. Pada hari sebelumnya, jumlah pelawat mencecah 21 ribu orang. Rata-rata pengunjugnya adalah pelancong tempatan.Selesai bersolat, perut pun sudah berkeroncong. Kami keluar ke tempat parkir mendapatkan van , dan makan tengahari di dalam van tersebut.

Setelah selesai makan, barulah kami masuk semula ke Enchanted Kingdom. Disini, dibenarkan membeli tiket, keluar sebentar dan masuk semula. Hajat mahu mencuba semua permainan untuk dewasa tidak kesampaian. Anak -anak masih mahu mencuba pelbagai permainan. Pukul 4.30 petang, kamipun mula bertolak balik.

Anak- anak tersenyum riang. Saya juga tersenyum kerana selepas ini kami akan ke rumah kak Zah, kerana jemputan makan malam. Cuti masak malam ini. He! He!

Wassalam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan