Ahad, 10 Januari 2016

Entri 20 : Isnin yang bersemangat!

Teks:Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google




Beberapa hari lagi, akan masuk pertengahan Januari, 2016. Masa yang pantas meninggalkan kita.
Di Makati, cuaca panas sekitar 31darjah celcius disini. Saya juga sudah lama tidak ke taman "Salcedo Park" kerana urusan pindah rumah.

Seminggu abang bersekolah, saya melihat dia gembira.Tetapi agak kepenatan, kerana sesi persekolahan berakhir pada 2.30 petang. Menaiki van sekolah, biasanya abang akan sampai ke rumah pada pukul 3.40 petang. Kami harus mengqada' sesi mengajinya yang banyak ditinggalkan sejak 2 minggu kebelakangan ini. Bersekolah di sekolah antarabangsa ada kelebihannya, tetapi pada pendapat saya ibubapa juga harus kuat dalam membimbing anak-anak tentang pendidikan agama. Ini betul-betul cabaran buat kami.

Si adik, berseorangan apabila abang ke sekolah. Saya masih dalam usaha mengajarnya menulis, dan mengenal nombor sebagai persediaan untuk bersekolah pada tahun hadapan. Ada rakan kami yang akan sampai ke Filipina ini pada bulan Februari akan akan datang. Saya sudah siapkan senarai barangan yang mahu dikirim dari Malaysia. Keropok ikan, sudah pasti!

Isnin yang bersemangat, saya sedang menambahbaik blog Homestay Rumah Inap Iman saya. Semoga momentum Isnin dan hari-hari lain akan sentiasa begini, bersemangat dan produktif!

Wassalam.

Sabtu, 9 Januari 2016

Entri 19: RaniaImaniCraft...kini difasa terakhir

Teks:Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi

"RaniaImanicraft", kini di fasa terakhir. Sementelah sudah hampir 2 minggu sibuk dengan urusan pindah rumah, dan talian internet yang belum disambung ke rumah baru ini. Kini, saya mula menyambung kerja-kerja yang tergendala separuh jalan.




InsyaAllah, kami akan mula beroperasi bulan Februari, 2016. Sedikit masa lagi, melalui fanpage dan akaun instagram akan saya paparkan item-item dari kedai online kami. Dalam masa yang sama, saya juga sedang mempergiatkan usaha mengiklankan Homestay Rumah Inap Iman saya di Kota Warisan. Blog bahasa Inggerisnya , http://rumahinapiman.blogspot.com/ juga sudah saya terbitkan. Masih perlu sedikit penambahbaikan.

Semoga Februari menjanjikan peluang yang lebih baik .

Wassalam.


Jumaat, 8 Januari 2016

Entri 18 : 7 habits of highly effective people

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google

Yeay! Masalah internet saya sudah selesai semalam.Selesai solat subuh. Seperti biasa saya merancang apa yang akan dibuat untuk hari ini. Tiba - tiba saya teringat kursus yang pernah saya ambil semasa bekerja dahulu. " 7 habits of highly effective people", oleh Franklin Covey.

Ini adalah kursus yang sangat bagus, menjana semangat dan minda positif. Saya sentiasa berpegang kepada 7 sifat ini, sewaktu mula bekerja dahulu  sehingga sekarang.


Antara yang menjadi kegemaran saya adalah, "Be Proactive" dan "Think Win Win" . Saya masih teringat salah satu temuduga saya, apabila penemuduga bertanya bagaimana saya menguruskan konflik sesama rakan sekerja.  Jawapan saya, cuba untuk memberi kemenangan  pada semua pihak, selalunya jika begitu konflik akan dapat dielakkan sama sekali.

Walau apapun keadaannya, selamat menjana hari yang positif. Semoga diberkati Allah selalu. 

Wassalam. 

Entri 17 : Jeepney dan Pedicab

Teks: Fauziah Mahmod
Foto:Simpanan Peribadi

Menyusuri jalanraya sekitar Makati, boleh saya simpulkan ia adalah sebuah bandar yang sibuk dengan keadaan trafik yang agak menduga perasaan. Kami kalau mahu kemana-mana, biasanya akan memilih pagi Sabtu, atau pada hari Ahad. Hari Ahad, jalanraya nya agak lengang sementelah ramai dari warganya yang beragama Kristian, berada di gereja.

Kenderaan awam yang popular disini, adalah MRT, LRT, teksi,keretapi, bas, jeepney dan pedicab. Jeepney dan pedicab adalah dua kenderaan yang agak unik untuk saya kongsikan bersama pembaca.

Jeepney berbentuk seperti gabungan van dan "jeep". Di sesetengah tempat, jeepney tidak dibenarkan masuk. Terdapat pelbagai warna, dan untuk satu satu masa, jeepney ini saya anggarkan boleh memuatkan 20 orang. Jeepney ini sukar diramal, kadangkala ia boleh berhenti dimana-mana sahaja ia suka tanpa menghiraukan kesesakan yang ada.




Pedicab atau tricycle banyak kelihatan jika kita keluar sedikit dari Salcedo Village. Ia kelihatan seperti beca. Ada yang menggunakan motosikal dan ada pula yang menggunakan basikal disambungkan dengan tempat penumpangnya. Difahamkan jeepney dan pedicab adalah alternatif kenderaan awam yang termurah disini.



Saya masih belum berkesempatan menaiki kedua-dua kenderaan ini. InsyaAllah jika keadaan mengizinkan saya akan mencubanya.

Wassalam.

Selasa, 5 Januari 2016

Entri 16: Bila Pondel bersekolah

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Simpanan Peribadi

4 Januari, 2016 . Pondel saya akan ke sekolah. “Pondel” adalah perkataan sebelah Negeri Sembilan untuk orang yang badannya berisi.  Kadang-kadang, abang akan kami usik dengan panggilan ini. Pagi Isnin, kami bangun seawal 5.30 pagi menyiapkan sarapan, solat dan mengejutkan abang untuk mandi. Sekolah akan bermula pada jam 7.55 pagi.

Setelah menghabiskan sebotol susu, barulah abang bergerak untuk mandi. Selesai mandi dan berpakaian, kami bersarapan bersama. Anak yang sulung ini, kurang sedikit kerisauan saya kerana dia pandai bercampur dan bergaul dengan rakan-rakan. Abang akan ke King School, Manila . Salah satu sekolah antarabangsa disini.  Sekolah ini juga menyediakan makanan tengahari . Jenis makanan akan diberikan kepada pelajar berdasarkan  lencana atau “tag”. Untuk anak- anak muslim hanya makanan halal akan disajikan. Sesi persekolahan akan berakhir pada pukul 2.30 petang.

Hari pertama ke sekolah, kami menghantar abang ke King School. Kami bertolak pada pukul 7 pagi, dan sampai pada pukul 7.20 pagi. Masih awal. Kelihatan anak-anak yang lain sedang bermain-main di padang sekolah, ada yang berehat di tepi koridor dan sebagainya sementara menunggu waktu kelas bermula. Abang nampak bersemangat, dan gembira! Tepat pukul 7.50 pagi, kami menghantarnya ke kelas, Teacher Rachel menyambut kami dan berbual sebentar.

Kelas yang kecil, persekitaran yang kondusif untuk anak-anak belajar. Setelah bersalaman, abang menyuruh kami pulang ke rumah. Okay! Nampak yakin!





Untuk anak-anak di Malaysia, saya ucapkan selamat belajar. Semoga kekal cemerlang bukan sahaja pada akademik, juga sahsiah dan nilai diri.

Wassalam. 

Isnin, 4 Januari 2016

Entri 15: 2016, permulaan yang mencabar

Teks :Fauziah Mahmod


Kami menyambut tahun baru di Makati. Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di luar negara. Seperti entri saya yang lepas, beberapa minggu sebelum tahun baru telah kelihatan lampu-lampu berwarna- warni menghiasi jalanrayanya.

Cabaran baru bermula bagi kami apabila terpaksa berpindah dari pangsapuri yang kami duduki. Kontrak berakhir pada 31 Disember, 2015 dan kami akan ditempatkan di rumah transit sementara mencari penempatan yang baru di sekitar Salcedo Village. Kadar sewa yang dinaikkan dan nilai tukaran semasa matawang Malaysia yang jatuh untuk menyerap kenaikan kadar sewa tersebut, menyebabkan kami perlu mencari alternatif lain. Banyak urusannya bila berpindah. Talian telefon, pertukaran alamat surat menyurat, talian internet perlu diselesaikan segera. Sekarang semuanya masih di dalam proses. Ini adalah senario biasa bagi staf-staf yang ditempatkan diluar negara.Tetapi, ada juga kedutaan kita yang menyediakan kuarters untuk staf-staf kedutaan.

Proses penyerahan rumah sewa di Filipina, dari pengalaman saya adalah sangat tersusun dan sistematik. Pada hari tersebut, penyewa hendaklah memastikan rumah dalam keadaan tersusun dan bersih, sama seperti hari mula-mula kita masuk ke rumah tersebut.  Peralatan elektrik, perabot-perabot yang ada akan di audit berdasarkan senarai inventori rumah tersebut. Jika ada peralatan yang rosak atau hilang, penilaian akan dibuat dan seterusnya penyewa hendaklah membayar gantirugi.

Barang-barang telah dikemaskan, pakaian, kasut-kasut, permainan anak-anak. Stress juga! Ha ha! 
Ketiadaan talian internet juga menyebabkan penambahbaikan kedai online kami “RaniaImaniCraft”, dan pengiklanan internet “Homestay Rumah Inap Iman” tergendala sebentar. Abang yang akan mula bersekolah pada 4 Januari ini juga menyebabkan kami suami-isteri agak sibuk menguruskan persekolahan abang, dan urusan pindah rumah. Saya cuma berpeluang melayari internet jika singgah dipremis-premis yang menawarkan “WIFI” percuma.

Semoga saya tabah.

Wassalam.



Jumaat, 1 Januari 2016

Entri 14 : Salam Tahun Baru dari Makati, Filipina!!

Teks: Fauziah Mahmod
Foto: Carian Google

Salam Tahun Baru dari Makati!! Sudah sampai ke penghujung 2015. 2016 akan menjelang tiba, episod tahun baru akan bermula bagi semua . Pasti sudah terpasak di hati apa yang akan dilakukan sepanjang 2016 nanti.

Di Makati, persiapan tahun barunya meriah. Lampu-lampu berwarna, hiasan pelbagai bentuk menghiasi sepanjang jalanraya. Kami menerima jemputan ke Hotel Heritage , untuk sambutan tahun baru ini. Hotel Heritage ini terletak di Pasay . Kami membawa anak- anak bersama, tetapi kami menjangka tidak akan sampai ke detik 12 malam, kerana biasanya si abang akan terlena paling lewat pada pukul 9 malam.

Sampai di Hotel Heritage, lebih kurang pukul 8 malam. Pelbagai juadah disediakan, seperti sushi, nasi ayam hainan, kek, aiskrim, kuih-muih dan sebagainya. Berbual sebentar dengan tetamu yang hadir, melayan anak-anak menjamah aiskrim kegemaran masing masing.  Disatu sudut di Hotel Heritage terdapat "Santa Workshop", di mana terdapat patung-patung orang kerdil dan berkonsepkan Krismas.

Seperti dijangka, abang sudah pun melelapkan mata dikerusinya . Tepat pukul 9.30 malam kami meminta diri kerana si adik pula sudah mula mengantuk. Kami sampai dirumah, lebih kurang pukul 10 malam. Tertidur, dan tepat pukul 12 saya terdengar dentuman bunga api di sana-sini. Sambutan tahun baru  agak signifikan maknanya kepada sesetengah individu.Tetapi pada saya, berusaha melaksanakan apa yang dimpikan adalah lebih penting.

Selamat tahun baru semua. Semoga apa yang dicita-citakan akan menjadi kenyataan.

Wassalam.